TOKOH USAHAWAN
DATO ALIFF SYUKRI
TENTANG/ BIODATA BELIAU
Nama sebenar beliau adalah Dato’ Aliff Syukri Kamarzaman. Beliau dilahirkan pada 03 April 1987 di Felda Kechau ,Kuala Lipis, Pahang. Beliau merupakan pengasas kepada produk kosmetik, D’Herbs Healthy Sdn. Bhd. Beliau juga merupakan bapa kepada 3 orang anak serta suami kepada Datin Nur Shahida Mohd Rashid. Selain itu, Dato’ Aliff Syukri juga merupakan anak kedua kepada pengasas produk kosmetik Sendayu Tinggi, Rozita Ibrahim. Beliau mendapat gelaran Dato’ seawal usia 23 tahun. Alam persekolahannya bermula di Teluk Gadong, Klang. Dia kemudiannya dimasukkan ke sekolah pondok di Pasir Tumbuh, Kelantan bagi mendalami ilmu agama pada usia 14 hingga 16 tahun. Selepas ibunya berjaya menjadi usahawan, beliau dimasukkan ke sekolah swasta Integrasi As-Syakirin di Seksyen 13, Shah Alam. Semasa itu, mereka berpindah ke Subang Jaya, Selangor sehingga tingkatan 5 dan kemudiannya melanjutkan pelajaran ke Taylor College.
Terlajakkk Laris… Pernahkah anda mendengarnya di mana-mana?
Menggunakan tagline ‘Terlajak Laris’ sebagai salah satu strategi pemasaran, beliau memang boleh dianggap benar-benar berjaya. Tagline yang mudah dan ringkas itu seakan-akan menjadi satu fenomena yang kini meniti di bibir segenap lapisan masyarakat tanpa mengira peringkat usia. Siapakah gerangan pencetus fenomena itu? Beliau ialah jutawan muda, Dato’ Aliff Syukri bin Kamarzaman. Anak ketiga kepada pengasas Sendayu Tinggi itu mengakui menerajui perniagaan yang didominasi wanita bukan satu perjalanan mudah. Masalah dari segi modal dan kesukaran mencari kepercayaan daripada orang lain kadangkala melemahkan semangat beliau. Namun, mengingatkan asal-usul dan kesusahan yang dihadapi sejak kecil, menjadikan beliau untuk terus kuat berniaga. Kesusahan itu menjadikan beliau mempunyai lebih banyak pengalaman dan pengalaman itu beliau jadikan didikan untuk menerajui syarikatnya kini.
Penglibatan beliau dalam dunia perniagaan bertunas sejak kecil lagi. Bermula dengan berniaga secara kecil-kecilan akhirnya membuahkan hasil yang lumayan kini. Hadir dalam keluarga yang tidak mewah membuatkan beliau menghargai setiap sen yang dimiliki. Beliau mula berniaga sejak berusia tujuh tahun lagi sewaktu tinggal bersama neneknya di Sabak Bernam, Selangor. Semangatnya hadir untuk berniaga apabila melihat rakan sekolahnya membawa wang saku lebih 50 sen manakala beliau hanya 20 sen. Melihatkan di sekeliling rumah neneknya terdapat pokok mempelam dan jambu tumbuh subur, beliau tanpa meminta pertolongan, memanjat pokok tersebut dan hasilnya dijadikan jeruk untuk dijual di sekolah.
Jika budak lain pergi ke sekolah hanya membawa satu beg sekolah untuk mengisi buku, namun untuk beliau, pasti akan ada satu lagi beg tambahan untuk memuatkan jeruk yang dihasilkannya untuk dijual pada harga antara 10 hingga 20 sen. Perniagaan kecil-kecilan itu dilihat sangat berkesan lantas memberi keyakinan kepada beliau untuk melakukannya hingga ke peringkat sekolah menengah dengan menjual pelbagai jenis kerongsang dan juga tudung serta barangan kosmetik. Habis zaman persekolahan, beliau mula menjalankan perniagaan kecil-kecilan dari rumah ke rumah menjual jamu dan pelbagai jenis produk kecantikan jenama terkenal.
Bukan itu sahaja, pada waktu tengah hari pula, beliau akan mengetuk pintu pejabat untuk menjual. Walaupun ada kalanya terasa segan kerana pelanggan tidak mahu mendengar penjelasan yang diberikan, ianya menjadi titik permulaan untuk beliau serius berniaga. Baginya, malu itu perkara kedua. Prinsipnya mudah, bukan kerana modal kita berjaya tetapi usaha dan kesungguhan paling penting. Selepas berhempas pulas berniaga dari rumah ke rumah, bermodalkan wang simpanan yang dikumpul, beliau mula menyewa sebuah kiosk di pusat beli-belah di Subang Jaya, Selangor.
Bergelar suami dan bapa pada usia muda serta tinggal di kota raya membuatkan beliau perlu mencari jalan menambah pendapatan. Setiap hujung minggu, beliau akan membuat bengkel kecantikan dan kesihatan di tempat-tempat kerja sama ada swasta mahupun kerajaan. Sambil menyelam minum air, itulah yang beliau amalkan apabila beliau turut menjual produk kecantikan dan kesihatan pada masa bengkel dijalankan. Harga yang dikenakan juga tidaklah mahal, antara RM5 hingga RM10 sahaja. Melalui bengkel yang dijalankan, beliau mampu menjana pendapatan sehingga RM3000 sebulan. Selepas gigih menjual produk daripada pelbagai jenama, beliau mula merasakan lebih baik beliau menjual produknya sendiri. Maka, beliau mengambil langkah drastik untuk mengeluarkan produk ciptaan sendiri. Semua simpanan yang ada, beliau gunakan sepenuhnya untuk menghasilkan produk jenamanya sendiri. Walaupun sedar risiko muflis itu ada, namun selepas membuat kajian selama beberapa bulan, syarikatnya D’ Herbs Healthy Sdn. Bhd. berjaya mengeluarkan gincu kolagen pertama di Malaysia.
Pada peringkat awal pengenalan jenama D’ Herbs ini, pelbagai kerja dilakukannya sendirian termasuk mengelilingi Malaysia untuk tujuan promosi. Pelbagai tugas dilakukannya serentak termasuk menjadi pemandu dan ejen pemasaran. Beliau juga tidak malu untuk mempromosikan jenamanya di pasar malam kerana beliau percaya produknya adalah produk mampu milik segenap lapisan masyarakat. Syarikat yang ditubuhkan pada September 2010 ini pada mulanya hanya beroperasi di lot kedai di tingkat dua dengan hanya seorang pekerja sahaja. Namun kini, syarikat itu sudah berpindah ke bangunan empat tingkat dengan seramai 15 orang pekerja serta telah menghasilkan hampir 30 rangkaian produk baru. Malah, produk-produk beliau dihasilkan di kilangnya sendiri iaitu Aliff Herbs Manufacturing Sdn Bhd.
Menggunakan selebriti terkenal seperti Bienda dan Watie Elite sebagai jurucakap produknya, menjadikan produknya menjadi tarikan pelanggan bukan sahaja di Malaysia malah Singapura dan juga Brunei. Istimewanya lagi mengenai produk beliau adalah bahan-bahannya 100 peratus berasaskan herba dan juga murah berbanding produk kesihatan lain di pasaran. Produk D’ Herbs boleh didapati dengan harga serendah RM15 di setiap lokasi tumpuan ramai termasuk pasar malam, pasar tani, farmasi, kedai jamu, dan pusat jualan D’ Herbs sendiri.
Bapa kepada tiga orang cahaya mata ini mempunyai misi yang jelas dalam hidupnya. Menjadikan empayar kosmetik Avon sebagai tanda aras, beliau berharap dapat mengembangkan jenama D’ Herbs sebagai satu jenama global. Di samping itu, beliau turut menyimpan hasrat untuk menghasilkan 500 jenis produk lagi pada masa akan datang bagi memberi lebih pilihan kepada para pengguna.
5 CIRI-CIRI USAHAWAN YANG BERJAYA
1. Berwawasan (Perceptiveness)
Antara salah satu ciri yang ditonjolkan oleh Dato’ Aliff Syukri Kamarzaman sebagai seorang usahawan yang berjaya ialah berwawasan. Ciri wawasan dapat dibuktikan apabila beliau meletakkan visi utama D’Herbs adalah untuk menjadi sebuah syarikat single level yang mengeluarkan produk kecantikan dan kesihatan dengan konsep terbuka yang lebih mudah dan ringkas sekaligus mempunyai sistem yang terbaik dari segi pengurusan, keberkesanan, kualiti serta harga berpatutan yang mampu dimiliki oleh semua golongan sekaligus dapat menjana pendapatan serta keuntungan bagi kedua – dua pihak iaitu pengeluar dan peniaga. Sebagai seoerang usahawan yang berjaya juga, beliau menetapkan wawasan syarikat sejajar dengan wawasan kerajaan dengan misi yang telah ditetapkan dalam syarikatnya iaitu Membantu golongan wanita dan lelaki yang mengalami masalah kesihatan dalaman dan luaran untuk tampil dengan lebih yakin dan bergaya. Disamping membantu mereka menjana pendapatan yang lebih lumayan dengan menjual produk daripada D'Herbs
2. Berpandangan Jauh (Foresight)
Selain mempunyai ciri berwawasan, Dato’ Aliff Syukri juga merupakan seorang usahawan yang berpandangan jauh. Ciri ini dapat dibuktikan apabila beliau mempunyai cita-cita ingin mencipta dan menjual produk ciptaanya sendiri bukan hanya bergantung kepada produk orang lain. Semasa beliau bergiat aktif dalam mengadakan bengkel kecantikan di seluruh Malaysia, beliau menyuarakan hajatnya iaitu ingin membuat satu jenama produknya sendiri walaupun beliau tahu bahawa ingin mencipta satu jenama baru bukanlah mudah. Namun, ramai yang menghadiri mensyuarat yang dianjurkan oleh beliau semuanya berminat dan yakin akan kewibawaan beliau untuk mencipta satu jenama tersendiri. Hasil daripada ciri yang ditonjolkan oleh beliau maka terhasillah satu jenama produk yang kini mendapat sambutan yang hangat di pasaran iaitu D’Herbs.
3. Mempunyai Inisiatif (Initiative)
Sebagai seorang usahawan muda yang berjaya, Dato’ Aliff Syukri juga mempamerkan ciri seorang usahawan iaitu mempunyai inisiatif dalam melakukan sesuatu perkara. Ciri yang ditonjolkan ini menunjukkan bahawa usahawan mempunyai semangat dalam melaksanakan sesuatu perkara. Ciri ini dipamerkan oleh Dato’ Aliff Syukri apabila beliau ingin mendapatkan modal bagi mencipta produknya sendiri. Walaupun beliau dimaki dan diherdik serta kertas kerja yang dibuat oleh beliau tidak diterima dan diluluskan oleh pihak bank, itu tidak bererti beliau akan putus asa dalam mendapatkan modal. Dengan semangat inisiatif tinggi yang ada dalam dirinya, beliau dapat meyakinkan rakan-rakan serta pelanggan dalam memberikan beliau modal dalam perniagaannya. Modal tersebut dijadikan pelaburan dan hasilnya, syarikat D’Herbs sampai ketahap yang membanggakan pada hari ini.
4. Berkebolehan (Versatility)
Usahawan perlulah berkebolehan dalam melakukan pelbagai perkara bagi menjamin kejayaan perniagaan yang dijalankan. Dato’ Aliff Syukri merupakan seorang yang berkebolehan. Ini terbukti apabila beliau sendiri yang mempromosikan produk yang diasaskan oleh beliau di pasaran. Pelbagai kritikan, komen serta pandangan buruk orang ramai terhadap cara beliau mempromosikan produk beliau tidak mematahkan semangat beliau untuk terus mempromosi produk tersebut. Beliau juga ada mengatakan, jika ingin berjaya, seseorang usahawan perlulah berfikiran positif dan menolak semua tanggapan negatif orang ramai. Ciri berkebolehan serta sikap optimistik terhadap perniagaan yang beliau jalankan menyebabkan produk D’Herbs terkenal dengan tagline ‘terlajak laris’ dan sering diperkatakan. Produk D'Herbs telah diiklankan di majalah dan akhbar yang terlaris di Malaysia seperti Mingguan Wanita, Midi, Keluarga, Harmoni, Metro, di mana iklan telah disiarkan setiap minggu dan ianya memberi impak yang sangat besar kepada perniagaan. Produk D’Herbs juga telah bersiaran di radio-radio Nasional dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Lebih membanggakan D'Herbs juga telah menaja program-program hebat seperti Akademi Fantasia dan Bintang Mencari Bintang yang disiarkan di Astro dan TV3.
5. Pembuat Keputusan (Decisive)
Semasa menerajui tampuk kepimpinan dalam perniagaan kosmetik, Dato’ Aliff Syukri tidak lari daripada tanggungjawab yang seringkali dikaitkan dengan sifat kepimpinan iaitu membuat keputusan. Seseorang usahawan perlu bijak membuat keputusan bagi memastikan masalah yang timbul dapat diselesaikan. Dato’Aliff Syukri menonjolkan ciri tersebut apabila beliau membuat keputusan ingin bernaung di bawah Label Syarikat Sendirian Berhad pada tahun 2012. Ini merupakan tahun kemuncak bagi perniagaan beliau. Beliau telah mengembangkan perniagaannya dengan berpindah ke bangunan 4 tingkat milik syarikat yang lebih strategik dan selesa .Dengan perpindahan ini, syarikat mampu menyakinkan semua stokis dan pengedar untuk menjual dan memasarkan produk D’ herbs dengan lebih meluas dan berkembang maju. Dato’ Aliff Syukri juga telah membuka beberapa anak syarikat iaitu Megah Perawan Sdn.Bhd yang menghasilkan dan menjual produk kosmetik dan sedikit kelainan konsep di mana Megah Perawan Sdn.Bhd hanya berurusan dengan seorang stokis tunggal yang dilantik dan akan bertanggungjawab memasarkan produk Megah Perawan Sdn.Bhd di seluruh Malaysia dan setakat ini permintaan produk ini amat mendapat sambutan daripada pengguna-pengguna di seluruh Malaysia. D’Herbs juga telah membuka sebuah syarikat yang dinamakan Aliff Herbs Manufacturing Sdn.Bhd di mana syarikat ini khusus untuk pengilangan produk kesihatan dan kecantikan seterusnya membuka ruang kepada syarikat-syarikat lain yang berminat untuk menghasilkan produk di bawah syarikat ini.
Comments
Post a Comment